Ekzos bising: Saman cukup la, tak perlu sampai nak sita motor
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya pihak berkuasa tidak menyita kenderaan seperti motosikal yang menggunakan ekzos yang bising.
Sebaliknya, kata Zahid, cukup dikenakan denda sebagai pengajaran kepada pemilik kenderaan berkenaan yang telah melanggar peraturan.
Tambah beliau, jika tindakan menyita kenderaan diambil ia mungkin menyukarkan kehidupan mereka yang terlibat, terutama mereka yang melakukan kerja penghantaran barangan.
Menurut Zahid, ketika situasi sukar ini dan ramai yang kehilangan pekerjaan, jika satu-satunya kenderaan dimiliki disita pihak berkuasa ia pastinya memeritkan lagi kehidupan masyarakat.
Bagaimanapun, Zahid berkata, bagi kenderaan yang tidak memiliki geran pemilikan ia perlu disita kerana kesalahan berkenaan.
Pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Kesalahan itu termaktub di bawah Kaedah 103 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).
Media melaporkan di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis juga diberi kuasa untuk menyita motosikal dengan tujuan mengelakkan kesalahan sama berulang.
“Saya memuji usaha dilakukan PDRM yang mahu memastikan pemilik kenderaan mematuhi undang-undang, tidak membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dan membendung pencemaran alam sekitar.
“Undang-undang perlu dipatuhi dan dihormati. Bagaimanapun polis antara pasukan penguatkuasa yang mempunyai budi bicara yang cukup tinggi di negara ini.
“Pada hemat saya, jika ada pemilik kenderaan mengubahsuai ekzos memadailah dikenakan saman yang boleh menyedarkan mereka. Tidak perlu disita melainkan kenderaan itu tiada geran pemilikan,” katanya.
Zahid berharap penguatkuasaan ini dapat dikaji sepenuhnya termasuk pihak bengkel yang menjual ekzos.
Lagipun, katanya, bengkel motosikal juga mahu beroperasi tatkala ekonomi negara kini dalam keadaan tidak baik. – SM