Ebit Lew serahkan urusan kes kepada polis, maafkan semua yang sebar fitnah
Identiti pendakwah yang dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akhirnya diketahui umum selepas pendakwah muda tersebut tampil membuat kenyataan selepas menghadirkan diri untuk memberi keterangan pagi tadi.
Ustaz Ebit Lew atau mana sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 36 telah tampil kepada media menafikan segala dakwaan tersebut dan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah satu fitnah yang sangat berat.
Akan terus lakukan kebaikkan
Menerusi Harian Metro, Ebit Lew meluahkan rasa syukur diatas segala urusannya hari ini dipermudahkan dan segala tohmahan yang diterima langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus melakukan kebaikkan seperti sedia kala.
“Alhamdulillah syukur, Allah SWT menentukan segala-galanya. Saya percaya hidup ini hanya satu tujuan untuk Allah sayang.
“Saya dipanggil bagi membantu siasatan atas tuduhan gosip di luar sana. Saya serahkan kepada polis sepenuhnya,” katanya.
Maafkan semua yang fitnah
Dalam pada itu, pendakwah muda itu juga telah menyatakan bahawa beliau memaafkan semua yang telah cuba menfitnahnya dengan mendakwa terlibat dalam jenayah gangguan seksual seperti yang tular sebelum ini.
“Saya maafkan sesiapa saja dengan apa yang terjadi (fitnah gangguan seksual). Orang di luar sana mungkin boleh nilai sendiri,” ulasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa tangkapan layar dan juga video tidak senonoh seorang lelaki mirip seperti seorang pendakwah terkenal.
Pihak polis minta orang ramai tidak ganggu siasatan
Sehubungan dengan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan polis sudah merakam keterangan ustaz tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut,” jelasnya.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang penyebaran apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)