Dulu chef hotel empat bintang, kini ambil upah gosok baju

Keputusan sukar itu terpaksa diambil Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 28, yang berasal dari Jalan Sri Cemerlang, di sini, berikutan hotel bertaraf empat bintang itu gulung tikar pada awal Januari tahun lalu.

Dia yang berkelulusan diploma dalam bidang kulinari daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu kini mengambil upah menggosok pakaian di Rumah Kaseh Bakti OKB di Jalan Sri Cemerlang.

Mohamad Fariz Ilham berkata, dia tidak berasa malu melakukan kerja itu walaupun menerima upah tidak seberapa iaitu RM1 untuk sepasang pakaian terpakai disedekahkan penyumbang kepada asnaf yang dikumpulkan di rumah amal itu.

“Bagi saya, di saat berdepan dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan ketika pandemik Covid-19, kita tidak boleh terlalu memilih kerja.

“Di Rumah Kaseh Bakti OKB ini, saya dibayar RM1 untuk sepasang pakaian dan setiap hari secara purata saya mampu menggosok sebanyak 100 helai pakaian.

“Tugas saya bukan hanya menggosok semata-mata, tapi perlu memeriksa pakaian disedekahkan sama ada masih dalam keadaan baik atau tidak berdasarkan bau, warna dan keadaan fabrik,” katanya.

Tugas anak sulung daripada tiga beradik di Rumah Kaseh Bakti OKB itu bermula pada 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Menurutnya, selain bekerja untuk kelangsungan hidup, dia yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang sama dalam masa terdekat cuba mencari sumber kewangan untuk menampung pengajian itu.

Dia yang turut mempunyai sijil kemahiran tahap tiga daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Kubu Bharu, Selangor menyimpan impian untuk menggenggam diploma kedua dalam jurusan pastri.

“Walaupun sudah menggenggam diploma dan mempunyai pengalaman bekerja sebagai chef, saya menyimpan impian menyambung pengajian dalam bidang sama dalam masa terdekat.

“Disebabkan itu, saya kembali ke kampung halaman dan mencari kerja sementara dapat menyimpan wang untuk menyambung pengajian nanti kerana kulinari memang minat saya,” katanya yang turut mengambil tempahan membuat pelbagai jenis kek dan pastri di rumah.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/664550/dulu-chef-kini-tukang-gosok-baju