Dua warga Indonesia dipenjara tiga bulan, berjudi laga ayam semasa PKP

Akibat berjudi laga ayam di kawasan kebun kelapa sawit semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), dua lelaki warga Indonesia dipenjara tiga bulan manakala tujuh individu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Dua individu yang dipenjara ialah Junaidi, 47, dan Samhaji, 37, manakala tujuh yang didenda pula ialah tiga rakan senegara mereka iaitu Mustajib, 49, Masdiono, 42, dan Mat Suri, 45, serta empat warga tempatan iaitu Tie Kim Hua, 62, Rukman Mushawi, 29, Arifin Sapuna, 53, dan John Balang, 54.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah berjudi di tempat awam di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran tapak projek pembinaan M Residence 2, Bandar Tasik Puteri, Gombak pada 3.45 petang, 24 Jan lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan dua lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Jan dan memerintahkan tujuh tertuduh lain dipenjara tiga bulan, jika mereka gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala peguam Hazwan Hassan dan M Mariappan, yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ringan.

Di mahkamah berasingan, kesemua tertuduh masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa hingga 18 Feb ini.

Kesalahan itu dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 4(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan turut memerintahkan sembilan tertuduh itu dipenjara sebulan jika mereka gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Khairunnisak manakala kesemua tertuduh diwakili peguam yang sama. – FMT