Dua pekerja penghantar barang ditahan, buli OKU

Dua pekerja penghantar barang ditahan, buli OKU

 

Polis menahan dua pekerja syarikat penghantaran barang susulan video membabitkan seorang daripada mereka membuli lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Bandar Baru Semariang, di sini tular, semalam.

 

 

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, di dalam video berdurasi 56 saat itu memaparkan suspek lelaki berusia 24 tahun membakar mercun dan menghalakan kepada lelaki OKU berusia 40 tahun yang sedang berehat di tangga sebuah bangunan.

Menurutnya, di dalam video itu suspek turut menakutkan mangsa dengan mengacah-acah mencucuknya dengan objek tumpul dan perbuatan itu dirakam rakan sekerjanya.

“Berikutan video yang tular di laman sosial itu, satu laporan polis diterima dan bertindak atas laporan itu dua suspek termasuk yang merakam video itu ditahan oleh anggota dari Balai Polis Santubong serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, petang semalam.

“Suspek direman empat hari mulai hari ini dan semua barang kes termasuk pakaian seragam syarikat penghantaran yang dipakai suspek utama ketika kejadian dan bekas mercun yang digunakannya dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Menurutnya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan objek dan Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai menggunakan bahan letupan iaitu mercun.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda manakala bagi Seksyen 286 Kanun Keseksaan pula dia boleh dipenjara sehingga enam bulan,” katanya.