Dua lelaki ditahan kerana memalsukan gelaran Datuk dan kerabat palsu di Kelantan

Dua lelaki mengaku memiliki status ‘Datuk’ dan ‘kerabat diraja Kelantan’ ditahan polis kerana disyaki aktif menjalankan kegiatan pemalsuan gelaran Datuk dan kerabat palsu di negeri ini sejak tahun lalu.

‘Datuk’ yang merupakan kakitangan awam berusia 48 tahun dan ‘kerabat diraja’ iaitu seorang penganggur berusia 69 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan pada minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis menerima aduan daripada Istana Kelantan dan kemudian menjalankan risikan serta menyerbu suspek pertama yang bertugas di Machang kira-kira 3 petang pada 26 Februari lalu.

Beliau berkata, suspek menunjukkan ‘kad keahlian Datuk’ tertera namanya pada kad itu selain terdapat tulisan Istana Balai Besar serta logo jata Kerajaan Kelantan.

“Belakang kad pula terdapat gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mana kad itu palsu dan disahkan tidak wujud oleh pihak istana kerana tidak pernah dikeluarkan.

“Suspek memberitahu memperoleh kad itu daripada seorang kerabat diraja pada tahun lalu tanpa sebarang bayaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Ahad.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan ‘kerabat’ tersebut di Tanah Merah kira-kira 2 petang pada 27 Februari lalu dan merampas dokumen empat empat kad ahli istana, surat jata kerajaan negeri dan cop yang bertulis kerabat Diraja Kelantan yang kesemuanya palsu.

“Suspek mengaku kononnya kerabat dekat Sultan Kelantan, sebaliknya siasatan mendapati suspek tiada hubungan langsung dengan keluarga diraja.

“Modus operandi suspek menggunakan gelaran kerabat dan mencari mangsa daripada kalangan pemilik syarikat persendirian untuk mendapatkan sumbangan.

“Pada masa sama, suspek memalsukan dokumen berupa kad keahlian Datuk yang palsu tersebut dan diberikan kepada mangsa-mangsa yang bekerjasama dengannya,” katanya.

Shafien berkata, ‘kerabat’ tersebut ditahan reman selama enam hari dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Tumpat pada Isnin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar, Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan surat istana dan Seksyen 473 Kanun Keseksaan kerana memiliki cop palsu.

“Penjawat awam tersebut pula dibebaskan dan dipanggil sebagai saksi kes,” katanya. – SH