Dua beradik maut terkena renjatan elektrik di luar rumah

Dua beradik maut terkena renjatan elektrik di luar rumah

Dua beradik yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB) dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang pada petang Jumaat.

Maut terkena renjatan elektrik

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Astro Awani, kejadian yang menimpa dua beradik itu Adam Harish Zamri , 11 dan Adam Haziq Zamri berusia 10 tahun disaksikan oleh adik bongsu mereka. Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang bermain air di luar rumah selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer dari lokasi kejadian.

Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah. Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (abang, berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

Si adik iaitu Adam Haziq Zamri dikatakan cuba membantu si abang namun malangnya, mangsa turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Difahamkan, jenazah dua beradik itu kini berada di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang.

Tambah Norazlin Syahidah lagi, pihak sekolah juga sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa yang dikatakan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual.

Oleh itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober. Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.

Sumber: Astro Awani