Drama ‘Perempuan itu’ tetap ditayangkan, tetapi tiada babak kontroversi Zul Ariffin – Erma Fatima

Drama ‘Perempuan itu’ tetap ditayangkan, tetapi tiada babak kontroversi Zul Ariffin – Erma Fatima

Hari ini, berlakunya prosiding perbicaraan terhadap aktor berbadan sasa, Zul Ariffin atas pertuduhan memuat naik kandungan sumbang yang dipercayai ‘satu’ babak sebuah drama berjudul Perempuan Itu di laman Instagram miliknya pada Mac lalu.

Dan, pelakon berusia 36 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang dan dikenakan denda sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun, penerbit drama berkenaan iaitu Erma Fatima mengatakan hukuman yang dikenakan terhadap pelakon utama terbabit tidak seharusnya dijadikan isu. Sebaliknya, ia harus dijadikan pengajaran buat semua pihak.

 

Memetik laporan Harian Metro, Emma percaya setiap yang berlaku itu pasti mempunyai hikmah disebaliknya dan ia seakan petunjuk serta teguran daripada Allah buat semua orang.

“Bagi saya, ini adalah pengajaran kepada semua orang. Bukan sahaja untuk Zul, tetapi untuk diri saya, pengarah dan artis-artis lain.
“Saya percaya, apa yang berlaku ini ada hikmah disebaliknya. Mungkin ini juga pesanan daripada Allah kepada kita semua,”ujarnya.

Dalam pada itu, Erma memberitahu drama tersebut akan tetap ditayangkan dan kini sedang melalui proses penyuntingan.

“Drama ini memang akan ditayangkan dan kami sedang menunggu tarikh tayangan. Kami juga sedang dalam proses penyuntingan.
“Bagi saya drama ini memang tiada masalah sebenarnya. Kita tak boleh terlalu cepat menghakimi hanya kerana satu video tular sampai mahu menghukum drama itu. Tak adil bagi saya,”jelas Erma.

Mengulas lanjut, Erma berkata, babak tersebut tidak akan dimasukkan dan memang tidak akan boleh keluar.

“Memang tidak akan boleh keluar. Babak itu tak perlu kita hantar kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau stesen TV sebab kita sudah tahu jawapannya,” katanya.

Terdahulu, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram.

Dalam video tersebut, kelihatan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.

Selain Zul dan Siti Hariesa, drama 30 episod ini dibintangi Mimi Lana, Eman Manan, Amar Asyraf, Amir Ahnaf,Erysha Emirates dan Iqbal Zulkefli.

Sumber: Harian Metro (Najiy Jefri)