Doktor wanita ditemukan mati di bilik hotel

Doktor wanita ditemukan mati di bilik hotel

 

 

Seorang doktor wanita berusia 37 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Pasir Panjang, Port Dickson dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, seorang pekerja hotel menemukan mangsa terbaring di atas katil dalam bilik hotel tersebut.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada pukul 2.56 petang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

“Menerusi semakan dari pihak hotel, mangsa telah mendaftar seorang diri di hotel berkenaan pada 19 Mei lepas,” katanya.

(FOTO sekadar hiasan)

Aidi Sham berkata mangsa masih bujang dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.

“Bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson pada pukul 10 pagi tadi dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.