Diugut supaya mengaku ada hubungan seks dengan isteri orang

Operator kilang menempuh detik cemas apabila bekas jiran bersenjata senapang angin mengugut dan meminta dia mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan isteri bekas jiran itu.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu di rumah di Sungai Semambu, Kubang Semang, di sini, semalam, mangsa lelaki berusia 30 tahun terjaga dari tidur selepas terdengar ketukan pintu sebelum mendapati tingkap rumahnya pecah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, apabila mangsa membuka pintu rumah, lelaki yang juga bekas jirannya berusia 30-an berada di hadapan kediamannya mengeluarkan senapang angin.

“(Suspek) kemudian meminta mangsa mengaku sama ada mangsa pernah melakukan hubungan seks dengan isterinya (isteri suspek) namun mangsa menafikannya.

“Tindakan mangsa yang menafikan perkara itu menyebabkan suspek berang lalu melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran kepada mangsa sebelum beredar dari rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, suspek turut mengugut membunuh mangsa sekiranya membuat laporan polis.

“Mangsa yang bimbang akan keselamatannya membuat laporan polis sejurus kejadian itu.

“Pada hari sama juga polis melakukan tangkapan ke atas suspek dan merampas senapang angin yang digunakan suspek bagi mengugut mangsa,” katanya.

“Suspek sebelum ini berjiran selang beberapa rumah dengan mangsa namun begitu pada April tahun lalu, suspek berpindah dari kawasan perumahan mangsa.

“Motif sebenar suspek bertindak sedemikian masih dalam siasatan polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seskyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – HM