Dituduh lari dari bayar hutang, emosi Mawar Karim terganggu

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai usahawan Mawar Karim berdepan tindakan bankrap apabila didakwa gagal membayar hutang berjumlah RM720,000 yang dipinjam daripada seorang kenalan.
Gaga-gara dakwaan tersebut, Mawar Karim berkata emosinya terganggu kerana berita itu memberi kesan kepada perniagaan dan bimbangkan keselamatan anak serta keluarga.
“Saya hanya dapat tahu tentang kes ini melalui perkongsian di sosial media. Pastinya emosi saya terganggu apabila orang sekeliling mula bertanya.
“Saya tidak kenal plaintif dan tidak pernah berurusan dengan dia. Tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar. Saya tidak pernah berhutang dan syukur perniagaan yang saya jalankan masih stabil.
“Saya tidak tahu bagaimana cerita ini boleh muncul. Mungkin ada pihak yang dengki atau mahu sabotaj saya,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Mawar berkata, pihaknya akan membuat permohonan mengetepikan dan melanjutkan perintah penghakiman ingkar seperti yang telah dikeluarkan.
“Mawar tidak jelas dengan tuntutan yang dibuat kerana dia menerima makluman dari kenyataan media plaintif dan bukan dari mahkamah.
“Kami akan buat permohonan untuk mengetepikan perintah ingkar dan penangguhan perintah tersebut seperti yang telah dikeluarkan oleh mahkamah,” katanya.