Ditahan polis guna lesen memandu ‘Legoland’

Ditahan polis guna lesen memandu ‘Legoland’

London: Polis mengejar sebuah kereta sejauh lebih 56 kilometer dari bandar ini ke Kent sebelum mendapati pemandunya yang berusia 21 tahun hanya memiliki ‘lesen memandu’ taman tema Legoland sebagai pengenalan diri.

Sebelum itu, kenderaan berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan, yang memaksa dua kereta peronda Polis Metropolitan dan Kent serta sebuah helikopter mengejarnya selama 30 minit.

Pemandu terbabit hanya berjaya dipintas selepas kenderaan kehabisan minyak.

Ketika pemeriksaan dibuat, polis tidak menemui sebarang kad pengenalan kecuali ‘lesen memandu’ Legoland tahun 2003 dan sejumlah ganja.

Kad lesen itu diberikan kepada kanak-kanak selepas mereka lulus ujian memandu olok-olok di taman tema popular di Windsor, Berkshire.

Susulan insiden, Polis Kent memuat naik kenyataan dan gambar kad terbabit bersama gambar ganja di Twitter.

Jurucakap pasukan berkata, pada awal pagi Isnin, 28 Februari 2022, anggota mengarahkan sebuah kenderaan berhenti di laluan A2 di Bexley, tetapi ia gagal berbuat demikian.

“Kereta itu dikejar menghala Isle of Sheppy dan ia kemudian berhenti selepas kehabisan minyak di Bell Farm Lane, Minster.

“Seorang lelaki berusia 21 tahun dari Sheerness ditahan kerana didakwa memandu secara berbahaya, gagal berhenti dan memiliki dadah kelas B.

“Dia juga melakukan kesalahan memandu tanpa insurans dan tiada lesen memandu,” katanya.

Pemuda itu dibebas dengan ikat jamin sehingga 1 September 2022.