Disaman SM Faisal, Caprice takkan mintak maaf & sedia ke mahkamah

Disaman SM Faisal, Caprice takkan mintak maaf & sedia ke mahkamah

SUSULAN tuntutan saman yang dikemukakan oleh ahli perniagaan Datuk SM Faisal Nasimuddin Kamal kepada Caprice, penyanyi rap itu berkata dia bersedia berhadapan dengan kes tersebut di mahkamah.

Menurut Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli, 34, dia sudah menerima surat saman tersebut dua bulan lalu dan menyerahkan kepada pihak peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Semua orang ada hak untuk saman, saya sedia untuk berhadapan dengan kes ini dan menyerahkan kepada peguam.

“Saya tidak akan meminta maaf atau memadam video tersebut kerana saya sudah melihat kembali video itu dan ternyata tidak ada sebarang kenyataan yang tidak benar telah dibuat,” kata penyanyi itu.

caprice1

Caprice tidak akan meminta maaf dan memadam video yang telah dimuat naik di instagram.

Terdahulu, SM Faisal memfailkan saman terhadap penyanyi Caprice atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya pada 28 Jun lalu.

Dalam rakaman video itu, Caprice mengaitkan ahli perniagaan berkenaan dengan kes membabitkan bekas isteri iaitu Emilia Hanafi.

Mengulas tentang video yang dimuat naik sebelum ini, Caprice memberitahu ia bukanlah pertama kali dia mengulas tentang pelbagai isu semasa membabitkan banyak pihak.

“Selama ini memang kalau ada sesiapa yang DM Caprice, tak kisahlah VIP atau orang biasa, minta tolong ketengahkan isu yang perlu diperjuangkan, memang saya akan bersuara.

“Kita tetap akan bela mangsa, tidak kisah siapa pun orangnya,” ujar Caprice

Tambahnya lagi, tujuan dia berkongsi video tersebut ialah untuk membantu individu yang memerlukan pertolongannya.

cap2

Penyanyi rap ini tetap akan membela nasib mangsa.

Lebih-lebih lagi kata Caprice Emilia sendiri ada menghubunginya dan mahu berkongsi kisah tersebut.

“Tuan badan sendiri ada DM Caprice minta tolong untuk beri kesedaran tentang kes yang berlaku pada dirinya.

“Kalau mangsa ada DM kita, memang kita akan tolong,” katanya.

Sementara itu, Caprice turut berasa hairan apabila isu ini kembali diperkatakan dan mendakwa wujud pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.

“Pertamanya, Caprice rasa seperti ada individu yang mahu viralkan kes ini. Perkara ini sudah dua bulan berlaku dan kami memang sedang menguruskan hal ini.

“Bagi Caprice seperti ada pihak lain yang mahu melaga-lagakan isu ini,” ujarnya.

Untuk info, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi di sebuah kediaman di Desa Sri Hartamas, Brickfields, Kuala Lumpur antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.