Dipercayai tertekan isteri minta cerai, lelaki didakwa ajak anak 7 tahun ‘bakar diri’

Dipercayai tertekan isteri minta cerai, lelaki didakwa ajak anak 7 tahun ‘bakar diri’

Nasib menyedihkan bagi seorang kanak-kanak, 7 tahun yang mengalami kecederaan serius setelah diajak bapanya untuk bakar diri baru-baru ini, lapor portal SuaraJawaTengah.id.

Menurut sumber, bapa kanak-kanak perempuan itu didakwa mengalami tekanan kerana tidak mahu diceraikan oleh isterinya yang bekerja di luar negara.

Adik ipar lelaki tersebut mengatakan kakaknya memang berniat untuk menceraikan suaminya namun tidak diketahui alasan sebenarnya.

 

Jelasnya lagi, “Dia tidak dapat menerima keputusan kakak lalu datang bersama anaknya ke rumah bapa di Desa Kartika Jaya Patebon. Ketika mereka tiba, dia membawa sebotol berisi minyak bahan api.”

Ketika kejadian, pelaku dipercayai menjerit dengan mengancam untuk membakar diri dan meminta mentuanya menarik kembali tuntutan perceraian. Dia dikatakan telah memeluk anaknya sambil menyiram minyak bahan api itu ke seluruh tubuhnya.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mangsa dari Kendal, Indonesia itu bernasib baik apabila bapa mentuanya sempat menyelamatkan mereka. Mereka berdua segera dikejarkan ke Hospital Soewondo untuk diberikan rawatan.

 

Dilaporkan, kanak-kanak itu telah mengalami kelecuran di perut dan tangannya. Namun kini, keadaannya sudah kembali stabil.

Sementara itu, si bapa terpaksa menjalani pembedahan kerana luka melecur yang lebih teruk. Jelas Dr. Muhammad Wibowo, “Luka akibat lecur yang dialami lelaki ini sekitar 50% lebih parah, jadi dia harus menjalani pembedahan.”

Perbuatan membinasakan diri yang dilakukan oleh pelaku dengan mengajak anaknya itu tercetus disebabkan masalah keluarga.

Rumah tangga yang dibina selama 7 tahun mulai renggang apabila si isteri bekerja sebagai pekerja migran di Hong Kong.

Sumber: SuaraJawaTengah.id