“Diminta buka tudung boleh disamakan seperti diminta tidak berbaju”, kata Mia Sara
“Diminta buka tudung boleh disamakan seperti diminta tidak berbaju,” kata Mia Sara apabila sebuah produksi mengenakan syarat agar membuka tudung sebelum diterima berlakon.
Menurutnya, keyakinan dirinya boleh hilang jika segelintir pihak produksi asyik mengenakan syarat sama.
Justeru, kata Mia Sara, mana-mana produksi sekalipun harus menghormati pendiriannya untuk terus bertudung dengan tidak memintanya mengubah penampilan semata-mata untuk tawaran diberikan.
“Berani dia bertanyakan hal macam tu pada saya. Walaupun bukan seorang Muslim, dia tak wajar bertanya atau mengenakan sebarang syarat seperti itu pada seseorang yang bertudung.
“Boleh hilang keyakinan tau bila orang tanya begitu selalu. Mereka harus menghormati pendirian saya,” katanya berhubung kejadian yang menimpanya minggu lalu itu.
Pemilik nama penuh Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai salah seorang duta produk wangian jenama De’Xandra Youth baru-baru ini.
Selain Mia Sara, empat lagi bintang remaja popular turut dilantik mempromosi jenama berkenaan seperti Erissa Puteri, Nana Quemar, Kashika Selvam, dan Kon Wei Wei.
Mia Sara, 16, yang tersinggung dengan permintaan itu berkata, dia hairan kerana masih terdapat pihak tanpa segan silu mengenakan syarat berkenaan walaupun sudah lima tahun dia bertudung.
“Ingat dah berada dalam industri sejak darjah lima sampai sekarang, pihak produksi akan ada common sense (akal) untuk tidak meminta saya tangalkan tudung,” katanya.
Menurut Mia Sara, sejak awal dia mengubah penampilan untuk menutup aurat, memang banyak tawaran berlakon yang diterimanya.
Namun kebanyakan tawaran tersebut terpaksa ditolak disebabkan pihak produksi mengenakan syarat untuk membuka tudung.
“Memang terpaksa menolak tawaran yang ada masa tu dan akibatnya peminat serta penggiat industri sampai fikir saya dah tak mahu berlakon lagi.
“Nasib baik saya masih beristiqamah. Tu kata kunci hidup saya. Mujur juga saya memakai tudung kerana Allah dan bukan kerana dipaksa orang sekeliling.
“Dua, tiga tahun saya menyepi disebabkan hal itu, sampai ramai juga yang tak tahu saya sudah kembali aktif sejak tahun lalu,” katanya.
Susulan itu katanya, sempena membuka lembaran tahun baru, dia memilih untuk menjadi wakil produk De’Xandra Youth kerana ingin melabarkan sayapnya dalam pelbagai bidang.
“Saya pilih menjadi duta De’Xandra Youth kerana jenama itu sedang merancang pelbagai projek termasuk muzik video dan produk tersebut mempunyai peminat kerana sudah lama bertapak di negara ni.
“Dan bila mengetahui ia mengetengahkan tema untuk remaja, saya terus berminat terutama sudah biasa dengan produk dihasilkan.
“Saya harap ia dapat membantu nama kembali menyerlah dan nampak saya bukan semata-mata berlakon saja,” katanya.