Dilema ke sekolah pada musim covid-19

Dilema ke sekolah pada musim covid-19

PETALING JAYA – Ketetapan kerajaan untuk memulakan sesi persekolahan pada 21 Mac ini mengundang dilema kepada ibu bapa apabila tersepit antara mahu anak-anak belajar dalam suasana lebih efisien dan pada masa sama risau wabak Covid-19.

Ibu bapa yang ditemui memberitahu, anak-anak begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan, namun mereka pula risau jangkitan Covid-19.

Di George Town, Pulau Pinang, ibu bapa mempunyai pandangan berbeza mengenai keputusan Kementerian Pendidikan yang tetap mahu memulakan sesi persekolahan Penggal 1 Sesi 2022/2023 mulai 21 Mac ini.

Ada yang risau zuriat dijangkiti Covid-19 ketika sesi pembelajaran bersemuka dan ada yang sudah bersedia untuk menghantar anak terutama tahun satu.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata, Aisyah Mohd. Riduan, 43, dia masih teragak-agak untuk membenarkan dua anaknya ke sekolah susulan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika ini.

Menurut Aishah, dua anaknya yang berada di tahun dua dan enam itu menghidap penyakit asma dan mudah sensitif.

“Lebih membimbangkan apabila sesi pembukaan sekolah kali ini seiring dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Kami memang mahu anak bersekolah, namun keadaan ketika ini dilihat tidak bersesuaian terutama yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Menurut Aisyah, dia lebih risau mengetahui tahap kepatuhan prosedur operasi standard dalam kalangan murid-murid di sekolah.

Seorang lagi ibu, Noor Fadlina Ahmad, 39, pula memberitahu, anaknya bersemangat untuk hadir sesi pembelajaran secara bersemuka berbanding Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

“Mereka berkali-kali menolak serta enggan lagi belajar secara online.

“Mereka beri alasan sudah jemu belajar di rumah dan lebih selesa belajar dengan guru serta rakan-rakan di sekolah,” jelasnya.

Sementara itu di Jerantut, Pahang, seorang bapa, Mohd. Hafiz Zulkifli, 30, berkata, anak­nya begitu teruja untuk kembali ke sekolah tetapi dia pula terasa berat hati.

“Anak perempuan akan masuk tahun dua, namun saya masih serba salah mahu menghantar­nya. Kini kami masih dikuarantin selepas ibu mertua disahkan dijangkiti Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu seorang ibu, Maizurah Amrizal, 29, berkata, dia telah melakukan persiapan untuk anaknya masuk sekolah, namun masih bimbang kerana anak belum divaksin,” katanya.