Didakwa terima suapan Honda Accord bernilai RM174K, Pengarah Kanan IPTA direman

Didakwa terima suapan Honda Accord bernilai RM174K, Pengarah Kanan IPTA direman

Didakwa menerima suapan berupa Honda Accord bernilai RM174,500, seorang pegawai kanan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Melaka direman tujuh hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 50-an itu diputuskan Majistret Mazana Sinin sehingga 26 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam pada itu, pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad memaklumkan bahawa suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka atas dakwaan menerima suapan.

Pegawai tersebut ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 I-Vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500.

Kereta itu diterima daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350. Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kredit: Utusan Malaysia