Didakwa buli junior hingga cedera, polis tahan 5 pelajar Tahfiz

Didakwa buli junior hingga cedera, polis tahan 5 pelajar Tahfiz

Perbuatan buli dalam kalangan pelajar adalah sesuatu yang harus dibendung. Jika dibiarkan berlarutan, mangsa buli boleh mengalami kecederaan fizikal dan trauma.

Seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia ini, lima remaja di sebuah Madrasah Tahfiz di Hulu Langat ditahan polis selepas disyaki mendera dan membuli pelajar junior sehingga cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada bapa saudara mangsa memaklumkan pelajar senior di madrasah berkenaan telah membuli serta memukul anak saudaranya yang berusia 11 dan 12 tahun.

Atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kemudian telah berjaya membuat tangkapan ke lima pelajar senior di Madrasah tersebut pada hari yang sama. Mereka direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati, mangsa mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai telah ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar senior berkenaan.

Sekadar gambar hiasan

Siasatan turut mendapati kejadian berlarutan selama beberapa bulan tanpa pengetahuan pihak Madrasah. Mangsa telah diugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada orang lain.

Pemeriksaan doktor mengesahkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan pendarahan di mata kiri dan seorang lagi perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

 

COMMENTS