Didakwa atas lima pertuduhan amang seksual, PU Azman tidak mengaku bersalah

Didakwa atas lima pertuduhan amang seksual, PU Azman tidak mengaku bersalah

 

 

PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Shah Alias, 41 hari ini telah hadir ke Mahkamah Seksyen Seremban atas lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki tahun lalu.

Hadir memakai kurta biru

Menerusi laporan dari Kosmo! PU Azman dilihat hadir memakai kurta berwarna biru gelap dengan diiringi pihak berkuasa sambil menutup kedua-dua tangannya dengan kain.

 

@kosmoonline

Penceramah selebriti, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki tahun lalu. #puazman

♬ original sound – Kosmo! – Kosmo!

Tiga pertuduhan melibatkan remaja 17 tahun

Walau bagaimanapun, pendakwah tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Merujuk kepada tiga pertuduhan, PU Azman atau biasa dipanggil Cik Man dikatakan telah melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.

Berdepan dua pertuduhan terhadap remaja 16 tahun

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5  Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beri kerjasama yang baik

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad telah memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

“Beliau juga telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.
“Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya

8 Disember serahan dokumen

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.

Cik Man ucap terima kasih yang doakan dia

PU Azman ketika ditemui selepas membayar duit jaminan pada pukul 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.

“Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cikman menghargai doa daripada semua pihak. Alhamdulillah hari ini proses pertuduhan diserahkan kepada peguam,” katanya.

Terdahulu, seorang pendakwah selebriti yang juga seorang pelakon dimaklumkan telah dihadapkan ke Mahkamah Klang, Selangor dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan berhubung kes amang seksual.

Individu terbabit dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur selepas pihak polis menerima laporan daripada mereka berhubung tindakan pendakwah berkenaan.

Susulan daripada berita itu, nama PU Azman telah ‘dipetik’ netizen memandangkan media sosialnya tiba-tiba sahaja ‘sepi’ dan dia juga telah digantikan dalam salah satu program radio secara tiba-tiba.

Namun, pada minggu lalu, pendakwah berkenaan telah berkongsi gambar bersama ahli keluarga dimana dirinya kelihatan sedikit kurus dan cengkung berbanding sebelum ini.

 

 

Sumber: Kosmo (Nor Shafawati yup), TikTok @kosmoonline