Deringan telefon bongkar penemuan mayat dalam rumah
Muar: Deringan telefon bimbit dalam rumah membongkar penemuan mayat warga emas dalam kejadian di Batu 3, Jalan Bakri, dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Shahrizal Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 3.05 petang tadi mengenai penemuan mayat lelaki berusia 68 tahun.
“Anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa tertiarap di dalam sebuah bilik yang berkunci.
“Mangsa, Toh Chong dimaklumkan tinggal berseorangan dan masih bujang,” katanya dalam kenyataan dekat sini.
Beliau berkata, seorang ahli keluarga yang tinggal berhampiran meminta bantuan pihak bomba selepas gagal menghubungi mangsa.
“Dia mendapati pintu kediaman mangsa berkunci namun terdengar deringan telefon dari dalam rumah.
“Anggota membuka pintu menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 3.37 petang.