DDNK mohon netizen berhenti kecam isterinya, “dia baru 25 tahun & seorang pelajar”

DDNK mohon netizen berhenti kecam isterinya, “dia baru 25 tahun & seorang pelajar”

Pakar Pelaburan Saham, Pengurus Kewangan Bertauliah dan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Mohd Nazri Khan memohon netizen agar menghentikan kecaman terhadap isterinya Datin Tuan Nor Ernie Rossmeris.

Menurut lelaki berusia 47 tahun itu, isterinya menerima pelbagai kata-kata tohmahan di media sosial sebaik selesai melangsungkan majlis perkahwinan mereka baru-baru ini.

 

Mohd Nazri yang popular menerusi tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ berkata, isterinya berusia 25 tahun itu memerlukan ruang apatah lagi masih bergelar seorang pelajar.

“Saya mohon netizen untuk memberikan sedikit ruang kepada isteri saya, supaya dia tidak dikecam.. dia masih berumur 25 tahun dan seorang pelajar.
“Mudah-mudahan dia boleh berdepan (situasi) yang berlaku,” katanya.

Dia berkata demikian menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram milik penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

Sementara itu, Mohd Nazri menitipkan ucapan terima kasih atas komen diberikan netizen sama ada positif mahupun negatif berhubung majlis perkahwinannya.

Dia turut memohon orang ramai mendoakan rumah tangganya supaya kekal bahagia serta tenang selain dipermudahkan dalam menghadapi sebarang ujian.

“Kita minta semua orang doakan perkahwinan kami insya-Allah lebih bahagia, tenang.. mudah-mudahan kita semua akan terselamat daripada sebarang kesusahan,” katanya.

Sebelum ini, Caprice berkongsi satu video memaparkan pertemuan dengan pasangan terbabit namun dia bertindak memadam posting tersebut tidak lama selepas itu.

Menerusi video berkenaan, Ernie dilihat meluahkan kekecewaan apabila dituduh netizen sebagai perampas sedangkan dia percaya soal jodoh ditetapkan Allah SWT.

“You tau tak Caprice, dorang cakap I perampas. I tak boleh terima itu semua. Kenapa nak persoalkan tentang jodoh. Macam mana I nak tolak? 
“Pastu dorang cakap I ‘tak cantik takpe, janji manja’. Jadi Caprice.. macam mana you handle semua ni?,” katanya.

Sumber: Instagram Caprice