DBKL kesal pokok hiasan rosak dipijak pengunjung

DBKL kesal pokok hiasan rosak dipijak pengunjung

 

Keseronokan menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 di Dataran Merdeka, di sini, pagi tadi, dicemari dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang merosakkan pokok hiasan di beberapa laluan di sekitar pusat bandaraya, hari ini.

Tindakan itu dapat dilihat menerusi rakaman video serta gambar yang tular di media sosial menunjukkan individu memijak tanaman pada laluan berkenaan sehingga rosak.

Malah, tindakan itu turut mendapat perhatian daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memuat naik hantaran beserta gambar dan video mengenai kejadian berkenaan.

“Seronok Min (admin) tengok lautan manusia membanjiri jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka pagi tadi bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Semangat cintakan negara seperti inilah yang kita mahu.

“Tapi dalam pada itu, ada pula sesetengah dalam kalangan kita yang langsung tak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan.

“Langsung rasa tak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik. Semangat itu sudah bagus, tapi caranya tak betul,” tulisnya pada hantaran berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan gambaran luar biasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan di Dataran Merdeka, hari ini, selepas dua tahun ia tidak disambut susulan pandemik Covid-19.

Keunikan bukan saja dapat dilihat dalam acara perbarisan yang membawakan lebih 16,000 peserta dan lebih 200 aset, namun jumlah pengunjung yang hadir turut di luar jangkaan.

Kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.