Datuk Seri, 24 individu ditahan berparti ambil dadah

Datuk Seri, 24 individu ditahan berparti ambil dadah

 

Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri antara 25 individu ditahan polis ketika sedang leka ‘berparti liar’ di sebuah banglo mewah di Janda Baik, Bukit Tinggi di sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 46 tahun terbabit dan kesemua individu itu dipercayai menyewa banglo berkenaan untuk berparti sambil mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas menerima maklumat awam, kira-kira jam 1 pagi.

“Dalam serbuan dilakukan, polis berjaya menahan 15 lelaki dan 10 wanita termasuk lapan warga asing yang kesemua mereka berusia antara 18 hingga 64 tahun.

“Polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram dan pil ekstasi seberat 1.43 gram dianggarkan nilai keseluruhan rampasan RM800,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati kesemua peserta parti liar itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai bekalan dadah dan mengenal pasti penganjur parti liar itu,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 14 Ogos ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu dadah dan mengambil tindakan tegas.