Datang pejabat agama untuk daftar, tapi terus nikah

“Kami datang sebenarnya untuk daftar perkahwinan, tetapi dinasihatkan terus nikah kerana PKP,” kata Amir Farhan Abu Hanipah, 28.

Amir yang anggota Rejimen Ke-2 Artileri Diraja di Kem Mahkota itu, diijabkabulkan dengan pasangan, Noor Asmiza Rosli, 25, yang juga anggota tentera yang bertugas di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sungai Lunchoo, Masai, Selasa lalu.

Mereka yang merancang untuk bernikah pada 22 Januari depan menerima cadangan pihak Pejabat Agama Daerah Kluang untuk melangsungkan pernikahan sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu ketika mendaftar untuk bernikah pada Selasa lalu.

Ini kerana berikutan tarikh berkenaan masih dalam tempoh PKP, pihak pejabat agama mencadangkan pernikahan mereka dilangsungkan pada hari itu juga kerana pada 13 Januari majlis pernikahan tidak dibenarkan hingga tamat tempoh PKP.

“Ketika datang ke pejabat agama membuat pendaftaran kami memakai seragam tentera.

“Dalam masa sama, pihak pejabat agama menghubungi keluarga kami dan mereka setuju untuk kami bernikah pada hari itu bersama-sama dengan 41 pasangan pengantin lain,” katanya kepada NSTP hari ini.

Menurut Amir, dia bersyukur walaupun perkahwinan mereka dilangsungkan dengan pakaian celoreng namun ia cukup bermakna apatah lagi ia berlaku tanpa diduga.

“Insha-Allah jika tidak ada aral majlis persandingan akan diadakan selepas PKP,” katanya.

Amir Farhan berkata, apa yang penting semua perkara wajib sudah ditunaikan dan mereka kini bergelar suami isteri.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/664050/datang-untuk-daftar-terus-nikah