Dari seorang pelawak beralih ke pentas politik

Dari seorang pelawak beralih ke pentas politik

Ketika ini, puluhan ribu rakyat Ukraine sedang menyelamatkan diri hingga merentas ke sempadan negara jiran apabila tenteranya bertempur dengan tentera Rusia selepas melancarkan serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Huru-hara yang berlaku pada hari pertama serangan telah membuatkan Presiden Ukraine menggesa rakyatnya mempertahankan negara mereka dan berkata senjata akan diberikan kepada sesiapa yang sedia untuk bertempur.

Selain konflik yang tercetus antara dua negara ini, orang nombor satu negara Ukraine iaitu Presiden Volodymyr Zelenskyy turut menjadi tumpuan umum.

Dari pelawak ke pentas politik

Presiden Ukraine Pelawak

Volodymyr Zelenskyy seorang sosok yang mempunyai latar belakang yang unik. Beliau pada mulanya dikenali sebagai seorang pelawak dan pelakon komedi dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pentadbiran kerajaan namun berjaya memenangi pilihan raya 2019.

Peristiwa itu menjadikan beliau satu-satunya atau salah satu daripada kisah individu di dunia yang diangkat menjadi presiden sebuah negara, hanya kerana popularitinya.

Lelaki berusia 44 tahun ini hanya mempunyai pengalaman politik daripada watak yang dimainkan sebagai presiden dalam rancangan televisyen.

Zelenskyy sebelum ini dikenali dengan rancangan televisyen, Servant of The People apabila membawa watak seorang guru yang menjadi presiden untuk menentang rasuah. Nama partinya juga turut sama seperti rancangan televisyen tersebut.

Seperti watak fiksyen itu, dia turut berkempen menentang rasuah selain memberi fokus untuk menamatkan konflik dengan puak pemisah di selatan negara itu yang mendapat sokongan Rusia.

Cara berkempen Zelenskyy juga tidak mengikut kaedah tradisional; berdebat atau mengulas isu serius sebaliknya membuat persembahan lawak dan menggunakan media sosial untuk mendekati pengundi.

Mungkin kerana siri rancangannya amat mendapat tempat di hati rakyat Ukraine; pada waktu itu rakyat mengharapkan perubahan besar, beliau berjaya menewaskan pencabarnya Petro Poroshenko.

Presiden Ukraine Pelawak

Keputusan pilihan raya Zelenskyy yang bermula sebagai jenaka itu menggambarkan kekecewaan rakyat Ukraine yang kini berdepan dengan pelbagai masalah ketidakadilan sosial, rasuah dan perang dengan puak pemisah.

Ditambah pula kini beliau berdepan dengan ancaman peperangan dengan Rusia, yang diketahui sebagai salah sebuah negara yang memiliki angkatan militari terbesar dunia.

Jika sebelum ini hanyalah sekadar berlatarkan program televisyen, kini beliau perlu berdepan dengan realiti lebih-lebih lagi terhadap seorang presiden yang cukup berpengalaman dalam dunia politik dan juga seorang perisik KGB, Vladimir Putin.