Dapur steamboat meletop, empat beranak cedera

Dapur steamboat meletop, empat beranak cedera

 

 

 

 

Makan malam sebuah keluarga bertukar tragedi selepas dapur gas untuk memasak steamboat meletup dalam satu kejadian di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Memetik laporan Sinar Harian, letupan itu menyebabkan air panas terkena pada mangsa,  Roberto Antoni, 28 dan isterinya, Wujon Maria Mae serta dua anak mereka hingga kesemuanya cedera.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 malam sebelum pihaknya menerima panggilan pada 9:06 malam berikutnya.

Bertindak atas maklumat, pihak BBP Lintas segera mengerahkan seramai 13 anggota bomba ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 11 kilometer dari balai.

Gambar: Sinar Harian

“Terdapat empat mangsa dilaporkan melecur terkena air panas dan ada juga yang terkena api.

“Dua mangsa kanak-kanak dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Manakala dua lagi diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” kata Guasi, memetik Sinar Harian.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut dijalankan bagi mengelak sebarang risiko lain tidak diingini.

“Operasi terkawal pada jam 9.35 malam dan ditamatkan selepas semuanya berada dalam keadaan selamat,” ujar Guasi.

Terdahulu, berlaku kejadian hampir serupa melibatkan tiga gadis yang cemas selepas dapur gas yang digunakan mereka untuk memanggang makanan meletup.

Difahamkan, kejadian dapur gas meletup itu berlaku di Indonesia pada Mac lalu, bagaimanapun ketiga-tiga mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan.

BACA JUGA: (Video) Tiga Gadis Alami Detik Cemas Selepas Dapur Gas Meletup Depan Mata

Sumber: Sinar Harian