“Dah boleh ketawa dan berjalan” – Nad Zainal kini tidak lagi dirawat di ICU

“Dah boleh ketawa dan berjalan” – Nad Zainal kini tidak lagi dirawat di ICU

Sudah lama agaknya tidak kemaskini perkembangan pelakon Nad Zainal yang sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman dalam paruu-paru pada 20 November lalu.

Terbaharu, pengarah dan penerbit tersohor, Shahrulezad Mohameddin berkongsi khabar gembira mengenai keadaan pelakon drama berjudul Cina Buta kini sudah stabil dan mampu menjalani rutin harian seperti biasa.

 

 

Menurut Shahrulezat atau dikenali Budak Ijat, aktres berusia 32 tahun itu kini sudah tidak lagi ditahan di wad ICU walaupun tahap kesihatannya masih dalam pemantauan.

Katanya lagi, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin sudah boleh berbual seperti biasa termasuk bergelak ketawa.

“Untuk pengetahuan, keadaan Nanad (nama panggilan Nad) sekarang tersangatlah baik. Dia bukan lagi di ICU. Tidak lagi ditidurkan. Nanad dah sedar, dah boleh berbual dan bergelak ketawa,”ujarnya.

 

Meskipun Nad sudah boleh berjalan pergi ke tandas seorang diri, mereka masih lagi berjaga-jaga disebabkan paru-parunya masih belum kuat.

“Nanad juga masih perlu berehat panjang demi kekuatan paru-paru yang luka masa pendarahan tempoh hari. Alhamdulillah, syukur sangat,”katanya lagi.

Dalam masa sama, Shahrulezad menjelaskan dia mempunyai sebab tidak memuat naik perkhabaran mengenai Nad disebabkan mahu menghormati keluarga pelakon tersebut.

“Saya lama tak berkongsi perkembangannya kepada umum kerana kesiankan keluarga Nanad. Selain dari mengutamakan kesihatannya, keadaan mental keluarga Nanad juga keutamaan kami,”jelasnya.

 

Shahrulezad berkata, aktres berkenaan merupakan anak tunggal dalam keluarganya dan apabila mereka berkongsi perkembangan semasa, pasti akan wujud rantaian berita bukan-bukan sehingga menyakitkan hati terutama orang tua Nad.

 

 

Atas sebab mahu menjaga hati ahli keluarga, dia bersama rakan-rakan lain memutuskan untuk menapis dan mengurangkan cerita mengenai perkembangan Nas Zainal melainkan penggiat seni lain bertanya khabar.

Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin), Instagram @nad.zainal