Cucu kejam sumbat nenek sendiri dalam peti sejuk sehingga mati

Cucu kejam sumbat nenek sendiri dalam peti sejuk sehingga mati

 

Seorang lelaki di Georgia dipercayai tergamak membunuh neneknya sendiri dengan menyumbat warga emas itu hidup-hidup di dalam peti sejuk sehingga tulangnya patah, lapor New York Post.

Menurut laporan, lelaki tersebut didakwa tinggal bersama mayat neneknya yang berusia 82 tahun itu selama berbulan-bulan sebelum pasukan polis Floyd County melakukan penemuan mengerikan itu pada Khamis lalu.

Polis percaya bahawa nenek itu tercedera selepas terjatuh pada bulan Disember.

Namun, hasil bedah siasat mendapati bahawa suspek telah menyeret mangsa di dalam rumah yang dikongsi oleh mereka.

“Dia mendengar dan melihat banyak tulang patah apabila dia berbuat demikian dan kemudian membungkus neneknya dalam beg plastik dan memasukkannya hidup-hidup ke dalam peti sejuk .

“Kami mengesyaki bahawa neneknya masih bernafas dan mempunyai sedikit pergerakan ketika dia dimasukkan ke dalam peti sejuk,” kata penyiasat Floyd County, Brittany Werner.

Sementara itu, suspek dipercayai mengaku punggung neneknya patah ketika dimasukkan ke dalam peti ais.

Mengikut pertuduhan, tiada sebarang provokasi atau pertengkaran yang membawa kepada perbuatan itu.

Suspek terus tinggal di rumah itu bersama mayat di dalam peti sejuk selama berbulan-bulan dan memindahkannya ke bilik stor pada bulan Mac kerana bimbang mayat itu ditemui.

Dia memberitahu polis bahawa dia tidak menghubungi 911 kerana dia dikehendaki oleh pihak polis disebabkan oleh ugutan keganasan yang dibuat pada 2018 terhadap isterinya.

Ketika disiasat, dia juga memberitahu betapa dia sangat menyayangi neneknya.

“Nenek saya merupakan satu-satunya ahli keluarga yang memberi kasih sayang serta perhatian yang saya perlukan,” katanya.

Biro Siasatan Georgia kini dilapaporkan sedang menhalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian mangsa serta bila ianya berlaku.