Cristiano Ronaldo setuju kontrak dengan kelab Arab Saudi, dibayar RM923 juta setahun

Cristiano Ronaldo setuju kontrak dengan kelab Arab Saudi, dibayar RM923 juta setahun

Bekas pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan bersetuju dengan kontrak perjanjian selama dua tahun setengah untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr.

Sebelum ini, Ronaldo secara rasminya memutuskan akan meninggalkan United selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk penamatan kontrak dengan lebih awal.

Hal tersebut salah satunya berpunca disebabkan temu bualnya dengan Piers Morgan yang ‘meletup’ di mana dia mengkritik pengurus United, Erik Ten Hag secara terang-terangan.

Ekoran daripada keputusannya untuk keluar daripada United, kini pemain yang berusia 37 tahun itu bebas untuk menandatangani mana-mana kelab yang ingin disertainya.

Kesempatan itu diambil oleh kelab liga Arab Saudi Al Nassr dengan membuat perjanjian kontrak selama dua tahun setengah berserta bayaran sebanyak RM923 juta (£173m) setahun dengan bintang Portugal berkenaan.

 

Ronaldo Setuju Kontrak dengan Arab Saudi
Kredit: Getty Images

Imbas kembali dalam temu bual yang sama dengan Piers Morgan sebelum ini, Ronaldo mendedahkan bahawa dia telah menolak tawaran sebanyak RM1.6 billion (£306m) untuk berpindah ke Arab Saudi pada musim panas.

Sebaliknya dia ketika itu ingin terus kekal di Old Trafford dengan bermain selama 520 minit dan hanya menjaringkan satu gol dalam aksi saingan Liga Perdana (EPL).

Malah, Ronaldo turut memuat naik satu kenyataan di laman sosialnya selepas meninggalkan United dengan berkata, “Berikutan perbincangan dengan Manchester United, kami telah bersetuju untuk menamatkan kontrak kami.

“Saya suka Manchester United dan saya sayang peminat, itu tidak akan pernah berubah. Rasanya ini masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu. Saya mendoakan yang terbaik untuk Man Utd,” kongsinya.

Sementara itu, Ronaldo kini memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada Portugal untuk Piala Dunia di Qatar.

Difahamkan, Portugal telah pun layak untuk ke pusingan 16 terakhir kerana menduduki tempat teratas dalam kumpulan H (6 mata) dengan meninggalkan Ghana pada kedudukan kedua dengan tiga mata.

Tambahan pula, Portugal akan kembali beraksi untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang dijadualkan pada Jumaat dengan menentang Korea Selatan.

Sumber: Talk Sport