Chelsea pecat Frank Lampard sebagai pengurus

Chelsea memecat pengurusnya, Frank Lampard susulan kekalahan lima daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Pemilik pasukan, Roman Abramovich berkata, pemecatan Lampard adalah keputusan sukar yang terpaksa dibuat beliau kerana Lampard adalah pemain legenda kelab itu sebelum ini.

“Ini adalah keputusan yang sangat sukar bagi Chelsea, terutamanya kerana saya mempunyai hubungan peribadi yang sangat baik dengan Frank dan saya sangat menghormatinya.

“Dia adalah seorang yang berintegriti tinggi dan mempunyai etika kerja tertinggi. Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, kami percaya lebih baik menukar pengurus.

“Bagi pihak semua orang di kelab dan secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Frank atas usahanya dan semoga beliau berjaya pada masa hadapan,” kata Abromovich dalam kenyataan.

Chelsea kini menduduki tangga ke-9 liga dan dilihat tidak berupaya bersaing dengan pasukan pilihan utama liga perdana, walaupun membelanjakan lebih AS$300 juta membeli pemain baharu.

Chelsea tidak mengumumkan pengganti Lampard sungguh pun desas-desus bertebaran bekas pengurus Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel akan beralih ke Stamford Bridge. – FMT