Cetus bimbang orang ramai, hampir separuh pelancong dari China tiba di Milan positif covid-19

Cetus bimbang orang ramai, hampir separuh pelancong dari China tiba di Milan positif covid-19

Hampir separuh penumpang dalam penerbangan dari Beijing ke Milan dilaporkan positif COVID-19 sebaik pihak berkuasa kesihatan Itali melakukan ujian saringan bagi wabak tersebut.

Menurut laporan Sky News, kedua-dua pesawat yang mendarat itu adalah penerbangan pertama China yang perlu menjalani pemeriksaan COVID-19 berikutan negara Asia itu bergelut dengan kira-kira sejuta jangkitan baharu pada setiap hari.

Foto: Google

Ketua kesihatan Lombardy, Guido Bertolaso berkata, 35 orang (38 peratus) daripada 92 penumpang disahkan positif dalam penerbangan pertama, manakala 62 penumpang (52 peratus) daripada 120 penumpang diuji positif bagi penerbangan kedua.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa Milan, kebanyakan penumpang yang mengalami positif COVID-19  tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi pihak pengamal kesihatan menyatakan kebimbangan berhubung varian baharu yang muncul di China.

Foto: Google

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro pula, pihak berkuasa juga akan melakukan ujian penjujukan bagi meneliti sekiranya terdapat varian baharu dalam kalangan penumpang yang disahkan positif wabak terbabit.

Justeru jika varian baharu dikesan, pihak berkuasa mungkin akan mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas pelancong dari negara berkenaan.

Foto: Google

Terdahulu, Beijing membatalkan sekatan perjalanan asing yang membolehkan rakyat China melancong ke luar negara apatah lagi menjelang Tahun Baru Cina bulan depan sekali gus menamatkan polisi ‘berkurung’ hampir tiga tahun.

Sumber: Sky News , Harian Metro