Cetak duit: NGO bedal timbalan menteri

Mencetak lebih banyak wang kertas hanya akan membawa kemudaratan kepada ekonomi negara.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar berkata demikian merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berhubung cadangannya supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat.

“Apabila mencetak wang kertas tanpa bersandarkan simpanan emas akan menyebabkan susut nilai mata wang. Seterusnya meningkatkan kadar inflasi, sekali gus menambah ketenatan menangani krisis ekonomi dan kesihatan ekoran pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Gerakan Belia 4B Malaysia juga mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar melonggarkan syarat pengeluaran simpanan akaun satu secara pukal.

“Ia akan memudahkan pencarum untuk merancang semula keadaan ekonomi isi rumah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Cadangan ini dibuat bagi menyasarkan golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutama golongan belia untuk membaik pulih dan merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian