Cerai selepas sejam kahwin

Cerai selepas sejam kahwin

Beijing: Hanya selepas sejam disahkan sebagai suami isteri, seorang lelaki di China memohon untuk bercerai dengan pasangannya itu.

Susulan tindakan lelaki itu, si isteri mengemukakan tuntutan ganti rugi terhadap suaminya.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku di wilayah Yunnan, barat daya negara itu.

Difahamkan, akibat tindakan lelaki itu, wanita terbabit meminta 300,000 Yuan (kira-kira RM192,581) sebagai pampasan.

Namun, petisyen perceraian itu ditolak hakim, lapor Global Times.

Difahamkan, si suami yang memohon perceraian itu masih menuntut di kolej manakala isterinya adalah seorang jururawat.

Dia memberikan alasan tidak mahu berkahwin dan terpaksa berbuat demikian kerana mendapat tekanan daripada isterinya.

Lelaki itu mendakwa sudah memutuskan hubungan mereka sebelum bernikah namun isterinya mengganggu dengan berulang kali menghantar mesej.

Keadaan itu menyebabkannya terpaksa membuat keputusan yang tergesa-gesa untuk berkahwin.

Isterinya pula menganggap lelaki itu dengan sengaja berlaku curang dan menuntut ganti rugi.

Selepas kedua-duanya gagal untuk bersetuju bercerai, mereka membawa kes itu ke mahkamah.

Namun, permohonan cerai itu tidak diluluskan kerana lelaki berkenaan gagal mengemukakan bukti hubungan mereka sudah berakhir.

Selain itu, mahkamah berpendapat kedua-duanya mempunyai ‘asas perhubungan emosi’ sekali gus tidak menyokong permohonan cerai dikemukakan lelaki berkenaan.