Bunuh kembar punca tidak kongsi syabu

Bunuh kembar punca tidak kongsi syabu

KUALA LANGAT – Angkara dadah membuatkan seorang lelaki hilang pertimbangan apabila membunuh kembarnya sendiri yang enggan berkongsi syabu di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, mangsa lelaki berusia 36 tahun ditikam di bahagian dada dengan sebilah pisau selepas bergaduh dengan suspek dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.

Mangsa dan suspek merupakan pekerja kebun sayur dan tinggal di rumah yang disewa majikannya pada kadar RM300 sebulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pembunuhan itu terbongkar apabila polis menerima panggilan daripada Hospital Banting memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri kira-kira pukul 6.58 petang hari sama dibawa majikannya.

Katanya, hasil pemeriksaan mangsa telah meninggal dunia dengan kesan luka sepanjang kira-kira satu sentimeter di bahagian dada disyaki akibat senjata tajam.

“Berdasarkan siasatan, mangsa sempat menghubungi majikannya untuk menghantar ke hospital kerana telah ditikam oleh abangnya.

Kata beliau, polis yang menyiasat di lokasi kejadian telah menjumpai senjata yang digunakan dalam kejadian bunuh itu.

Tambah Ahmad Ridhwan, pihaknya kemudiannya berjaya menangkap suspek yang merupakan abang kembar mangsa kira-kira pukul 10.45 malam hari sama di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah ini selepas dibawa majikan mangsa.

“Hasil siasatan mendapati berlaku pergaduhan antara pasangan kembar itu selepas mangsa tidak mahu berkongsi dadah jenis syabu.

“Suspek kemudiannya telah menikam adik kembarnya menggunakan sebilah pisau,” jelasnya.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan syabu dan telah menagih dadah sejak 10 tahun lalu.

“Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah manakala mangsa mempunyai 10 kes dadah dan satu kes jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. –