Budak mangsa dera dikurung berjaya diselamatkan ketika cuba lari melalui tingkap

Budak mangsa dera dikurung berjaya diselamatkan ketika cuba lari melalui tingkap

Seorang kanak-kanak yang disyaki mangsa dera bertindak melarikan diri melalui tingkap selepas dikurung berjaya diselamatkan di Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, di sini hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu cuba keluar dari rumah berkenaan melalui tingkap dan dia dilihat berdiri di atas penghadang tingkap di tingkat empat oleh penduduk kondominium itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian berhubung seorang kanak-kanak terperangkap pada pukul 4.41 petang.

“Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pukul 4.48 petang, para petugas mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun telah dikurung di dalam bilik,” ujarnya sebentar tadi.

Menurutnya, kanak-kanak itu dikatakan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat empat dan tindakan mangsa itu telah disedari orang awam.

Jelas beliau, pintu telah dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan sebelum ketibaan bomba.

“Kanak-kanak tersebut selamat dan dia disyaki menjadi mangsa dera dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.