Budak 7 tahun maut jatuh atas meja kaca

Budak 7 tahun maut jatuh atas meja kaca

Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian dada selepas terjatuh di atas meja kaca di kediamannya di Kampung Bukit Changgang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berusia tujuh tahun itu bermain sendirian.

“Berdasarkan maklumat ibu dan bapa mangsa, anaknya itu melompat di atas sofa rumah sebelum terjatuh di atas meja kaca di depan sofa itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, insiden itu mengakibatkan dada mangsa terkena serpihan kaca lalu dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Banting.

Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Banting.

“Bedah siasat akan dilakukan untuk mengetahui punca kematian mangsa. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.