Budak 5 tahun dilapor maut setelah terperangkap dalam kereta berbahang, dipercayai bapa terlupa turunkan di sekolah

Budak 5 tahun dilapor maut setelah terperangkap dalam kereta berbahang, dipercayai bapa terlupa turunkan di sekolah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia secara tragis setelah ayahnya lupa menurunkannya ke sekolah. Malah, dia dibiarkan terkunci di dalam kereta berbahang di tempat kerja ayahnya, lapor portal Mirror.

Sebelum insiden tersebut berlaku, ayah kanak-kanak itu telah mengarahkan si ibu untuk bantu meletakkan anaknya di tempat duduk belakang pada pagi 8 Jun lepas.

Menurut laporan, ketika kejadian, si ayah telah memarkir kereta di jalan yang berhampiran bereknya. Namun, lelaki itu secara tidak sengaja meninggalkan anaknya di sana dan menyebabkan kanak-kanak itu terperangkap di dalam kereta.

Polis percaya bahawa ayahnya yang merupakan seorang askar itu telah terlupa tentang anaknya yang tidur di belakang kereta.

Jelas sumber, tidak diketahui sama ada kanak-kanak itu bangun atau menjerit meminta pertolongan, tetapi tangisannya mungkin tidak kedengaran. Hal ini kerana terdapat kerja-kerja pembinaan yang berdekatan dengan kereta yang diparkir itu.

Malah, kereta itu juga mempunyai tingkap gelap yang menyukarkan orang yang melalui kawasan itu untuk perasan kanak-kanak yang terperangkap itu.

 

Kejadian ini disedari hanya setelah si ibu datang ke sekolah untuk menjemput anaknya sekitar jam 3 petang. Namun, dikatakan bahawa anaknya tidak hadir. Wanita itu lantas menghubungi suaminya yang dilaporkan yakin untuk membawa si anak ke sekolah pada awalnya.

Malangnya, lelaki itu kembali ke keretanya untuk memeriksa kembali dan dia mendapati anaknya tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Dipercayai bahawa lelaki itu telah berjuang untuk menyedarkan anaknya yang kaku itu tetapi tidak berhasil. Akhirnya dia turut pengsan kerana begitu terkejut.

Sekitar jam 4 petang, perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian dan akhirnya mengesahkan kematian kanak-kanak itu.

Dilaporkan, siasatan polis telah dijalankan dan lelaki itu berada di bawah siasatan.

Sumber: Mirror.co.uk

COMMENTS