Bot terkandas di tengah laut, demi selamatkan anak, ibu sanggup minum air najis sendiri

Bot terkandas di tengah laut, demi selamatkan anak, ibu sanggup minum air najis sendiri

Seorang ibu maut setelah terpaksa meminum air kencing sendiri supaya dia dapat bertahan menyusukan anak-anaknya ketika terperangkap di atas bot yang berada di tengah laut.

Mangsa, 40, mengikuti perjalanan kapal bersama keluarga dan rakan-rakan termasuk anak lelakinya yang berusia 6 tahun, anak perempuannya yang berusia 2 tahun serta pengasuh mereka pada 3 September lalu.

Menurut Metro UK, mereka meninggalkan Higuerote di Venezuela untuk ke Pulau La Tortuga yang tidak berpenghuni di Caribbean.

Namun, mereka tidak berjaya sampai ke destinasi akibat ombak besar telah menghempas kapal mereka ketika dalam perjalanan.

Susulan itu, operasi menyelamat besar-besaran telah dilakukan setelah mereka dilaporkan tidak berjaya sampai ke tempat tersebut pada waktu yang ditetapkan.

 

Gambar: Metro UK

Empat hari kemudian, pihak berkuasa telah menemui bot penyelamat dalam cuaca panas bersama mangsa yang sudah meninggal dunia.

Lebih menyentuh hati, anak-anaknya didapati memeluk badan mangsa, manakala pengasuh berada di dalam peti sejuk kecil di mana dia dilaporkan bersembunyi dalam usaha untuk mengelakkan diri daripada cuaca panas.

Lima orang termasuk suami kepada mangsa yang dikatakan bertindak sebagai kapten kapal masih hilang dan harapan untuk menemukan mereka semakin pudar.

Anak-anak mangsa dan pengasuh dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat mengalami dehidrasi dan luka bakar tahap pertama. Mereka dilaporkan selamat tetapi dikatakan menderita tekanan akibat trauma dan juga kecederaan fizikal akibat insiden itu.

Pegawai mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kegagalan organ yang disebabkan oleh dehidrasi.

Malah, hasil pemeriksaan mendapati mangsa berusaha menyelamatkan anak-anaknya dengan meminum air kencing sendiri agar dia dapat terus menyusukan mereka.

Gambar: Metro UK

Penguasa Maritim Nasional Venezuela, INEA, mengatakan dalam satu kenyataan: ”Pada 3 September jam 9.30 pagi, sebuah kapal perairan yang dipanggil Thor meninggalkan Higuerote menuju Pulau La Tortuga dengan perjalanan balik yang dijadualkan pada 5 September.

”Pihak berkuasa pelabuhan diberitahu pada 5 September sekitar jam 11 malam bahawa kapal tersebut gagal sampai ke destinasi atau kembali ke lokasi yang ditinggalkannya dan operasi pencarian telah dilancarkan.

“Pada 7 September jam 2.10 petang, empat orang telah diselamatkan oleh kapal pengawal pantai AB Carecare di mana dua di antaranya adalah kanak-kanak.

“Kami berkongsi keperitan keluarga mangsa dalam tragedi mengerikan ini,” kata kenyataan.

Seorang jurucakap menambah: “Ibu telah meninggal untuk memastikan anak-anaknya hidup dengan menyusukan mereka dan meminum air kencingnya sendiri.

“Dia meninggal tiga atau empat jam sebelum operasi penyelamat akibat dehidrasi setelah tidak minum air selama tiga hari.”

Jurucakap itu mengakui peluang hidup mereka akan lebih tinggi jika kumpulan itu mempunyai radio, GPS atau langkah lain seperti suar.

Mangsa telah selamat dikebumikan pada Sabtu, manakala operasi pencarian terus dijalankan bagi mengesan mangsa lain yang masih hilang.

Sumber: Metro UK