Bomba Selangor terima 11 kes lapor banjir

Bomba Selangor terima 11 kes lapor banjir

Kuala Lumpur: Sehingga 7.30 malam tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima 11 laporan banjir.

Antara kawasan yang terbabit adalah di Bestari Jaya, Kuang, Sungai Buloh, Kampung Tengah, Taman Kinrara dan Taman Sri Langkas.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, Kampung Melayu Sri Kundang di Bestari Jaya merekodkan jumlah mangsa seramai 300 orang daripada 54 keluarga.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sri Kundang sehingga banjir surut.

Beliau berkata, air naik sehingga 1.2 meter di lokasi kejadian dan bomba masih memantau perkembangan lanjut.

“Dalam kejadian di Taman Sri Langkas, bomba menyelamatkan seorang wanita lumpuh berusia 60-an untuk dibawa keluar selepas rumahnya yang dinaiki air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, bagi kawasan lain, tiada pemindahan berlaku dan penduduk sempat keluar dari rumah dan berteduh di lokasi selamat.

Beliau berkata, banjir di lokasi lain menunjukkan trend penurunan dan dijangka akan surut tidak lama lagi.

“Bomba Selangor dalam keadaan bersiap siaga membantu menyelamatkan mangsa yang terkandas.

“Orang ramai diminta menghubungi bomba segera jika berlaku trend peningkatan banjir di lokasi mereka.

“Mereka juga dinasihatkan agar keluar dari rumah dan berlindung di lokasi selamat bagi membolehkan bantuan disalurkan,” katanya.