“Boleh mesej saya..” – PU Riz nak bagi RM300 untuk pelajar 5A SPM

“Boleh mesej saya..” – PU Riz nak bagi RM300 untuk pelajar 5A SPM

Selebriti dan pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz ingin memberi ganjaran RM300 kepada pelajar yang memperolehi keputusan sekurang-kurangnya 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Pada masa yang sama, ada seorang lagi selebriti, Wawa Zainal yang juga ingin memberikan hadiah RM200 kepada sesiapa yang mendapat keputusan SPM yang cemerlang.

PU Riz, 26, berkata jika ada mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak boleh terus menghubunginya terus menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram beliau besertakan bukti slip keputusan SPM mereka.

“Saya mencari pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan semalam. Mereka hanya perlu DM saya berserta slip keputusan bakal menerima hadiah daripada saya.

“Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang.

“Saya tahu nilai ini tak besar, tapi apa saya cuba nak sampaikan adalah setiap usaha itu pasti akan peroleh kebaikan dan ganjaran. Buktinya mereka sudah belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang. Kemudian dapat pula ganjaran hadiah,” katanya yang juga suami kepada selebriti popular, Neelofa.

Pada masa yang sama, PU Riz juga menjemput semua pelajar yang terpilih untuk menyertai sesi siaran langsung di Instagramnya pada jam 1 petang esok.

“Saya memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam sesi ‘live’ bersama saya. Sedikit sebanyak mereka boleh berkongsi tips pembelajaran atau apa saja yang diamalkan sehingga mendapat keputusan cemerlang.

 

“Saya anggap perkongsian ini nanti bukan saja berguna pada semua yang menonton, tapi dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki SPM akan datang

“Mana tahu perkongsian ini nanti dapat menjadi asbab kepada kejayaan ramai pelajar pula,” katanya.

Kredit : HarianMetro