Bintang Ukraine, Pasha Lee terbunuh ketika bertempur dengan Rusia.
Seorang aktor terkenal Ukraine, Pasha Lee dilaporkan terbunuh dalam satu serangan brutal oleh pihak Rusia sewaktu mempertahankan tanah airnya, semalam.
Lee, 33, dilaporkan DailyMail terbunuh di Irpin, Ukraine dalam serangan yang telah berlarutan selama 12 hari itu.
Aktor yang cukup terkenal sebagai peminjam suara di filem animasi Lion King itu malah terbunuh bersama Datuk Bandar, Yuriy Prilipko, 61, yang mati ditembak sewaktu sedang membantu memberikan makanan dan ubat ubatan.
Lee diketahui mendaftar diri di Pasukan Pertahanan Teritorial Angkatan Darat Ukraine sejak hari pertama Rusia membedil negara tercintanya.
“Dari hari pertama, Lee pergi berperang untuk Ukraine dan kini dia meninggal dunia di Irpin, tempat pertempuran sengit sedang berlaku. Kami berdukacita dengan khabar sedih ini,” tulis sebuah kenyataan yang dikeluarkan kepada umum.
Ironi, lima hari sebelum kematiannya, Lee bangga mempamerkan dirinya segak memakai seragam tentera dan mengajak seluruh umat bersatu menentang keganasan yang sedang melanda negaranya.
Dua hari lalu, dia juga memberi khabar dirinya yang kini berada di tengah peperangan.
“Untuk tempoh 48 jam yang lalu, inilah kesempatan buat kami duduk dan bergambar. Saat ini kami masih dibedil bom, tetapi masih tersenyum kerana kami mampu menanganinya,” tulis Lee.
Lee yang dilahirkan di Crimea juga terkenal menerusi animasi Hobbit (pengisi suara) selain merupakan seorang hos.