Bibik larikan diri, Elyana mohon bantuan ramai kesan
Penyanyi Elyana tidak menyangka apabila pembantu rumahnya yang sudah berkhidmat dengannya selama tiga tahun melarikan diri tanpa sebab sejak seminggu lalu.
Elyana, 35, kecewa apabila pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Isniwati sanggup berbuat demikian sedangkan dia memiliki perwatakan yang sangat baik, malah sentiasa bertelekung di rumah.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Elyana dalam InstaStory miliknya, pelantun lagu Niat itu meminta orang ramai supaya membantunya mengesan pembantu rumah berasal dari Lombok, Indonesia itu yang disifatkan sebagai ‘akal panjang’.
“Jika sesiapa terjumpa Isniwati, tolong DM (mesej menerusi Instagram). Nampak baik tapi akal panjang.
“Saya terima dia bekerja dengan cara yang sangat baik. Tapi dia pergi dengan cara yang sangat tidak baik.
“Di rumah bertelekung sampai kita nak minta tolong buat kerja pun jadi serba salah,” tulis Elyana.
Dalam perkongsian itu juga, Elyana atau nama lengkapnya Erneelya Elyana Emrizal turut memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediamannya yang menunjukkan detik pembantu rumah terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam pada waktu malam.
Suaminya, Khairul Anuar Husin ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia telah mendapatkan khidmat pembantu rumah melalui ejen sejak tiga tahun lalu.
Kata Khairul lagi, dia bersyukur apabila pembantu rumah itu tidak melakukan jenayah lebih berat seperti mencuri atau membawa lari bersama barang-barang berharga ketika keluar dari rumahnya.
“Setakat ini tidak ada lagi barang-barang yang hilang,” katanya ringkas.
Sekadar info, Elyana bukan satu-satunya selebriti yang berdepan dengan masalah pembantu rumah melarikan diri.
Beberapa nama selebriti lain seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Ezzaty Abdullah dan Fazura turut pernah mengalami pengalaman sama apabila pembantu rumah yang dijaga dan dilayan dengan baik melarikan diri tanpa sebab yang diketahui.