Bersatu ,Umno perlu saling bermaafan dan buka buku baru

Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menggesa partinya dan Umno-BN menghentikan “perbalahan secara terbuka.”

Katanya, kerjasama antara gabungan politik PN dan BN perlu diperkukuhkan.

Ini selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata perkongsian PN bersama Bersatu tidak menguntungkan serta mengakibatkan Umno kehilangan penguasaannya.

Para pemimpin Umno juga telah menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran parti itu perlu memberi kerusi ketua menteri Sabah kepada Bersatu, walaupun Umno menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sabtu lalu.

“Tanpa penglibatan dan sumbangan salah satu parti (PN, BN atau PBS), tidak mungkin kerajaan baru dapat dibentuk di Sabah.

“Semua pimpinan PN mahupun BN harus menghentikan perbalahan secara terbuka termasuk melalui kenyataan media dan kenyataan di media-media sosial.

“Gunakan platform dan forum yang betul seperti diskusi tertutup untuk menguruskan segala perbezaan pendapat,” katanya lagi.

Buka lembaran baru

Jelasnya, “serangan seharusnya dihala kepada pihak musuh dan bukannya sesama sendiri” kerana ia akan hanya menghilangkan keyakinan rakyat dan menguntungkan pihak lawan.

“Eloklah bermaaf-maafan dan buka lembaran baru untuk kerjasama PN dan BN yang lebih kukuh menuju PRU 15 yang bakal tiba pada bila-bila masa dari sekarang.

“Segala usaha untuk memperkukuhkan kerjasama antara PN dan BN harus bermula dari sekarang dan bukan di saat-saat akhir.

“Usaha ini harus digerakkan dari peringkat pimpinan tertinggi parti sehinggalah ke peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan,” katanya.

Gesaan perdamaian ini mungkin bertujuan mengelakkan pertembungan Umno-BN dan Bersatu pada PRU15 akan datang.

Umno yakin jika BN dan PAS berkerjasama, gabungan itu boleh menang pilihan raya umum akan datang tanpa perlu berkompromi kepada Bersatu.

Sebelum terbentuknya kerajaan PN, kerjasama Umno dan PAS telah menyebabkan Bersatu mengalami kekalahan pada pilihan raya kecil Tanjong Piai dan Semenyih.

Bersatu mempunyai asas sokongan yang lebih kecil berbanding Umno dan Bersatu semakin meretak setelah Dr Mahathir Mohamad dipecat dari parti itu.

Mahathir telah memberi amaran Bersatu akan kalah teruk jika bertanding melawan Umno dan pembangkang sekarang pada PRU15.

Sumber : Malaysiakini