Bersatu puji Warisan Plus tak ikut cara mereka tebuk atap
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Warisan Plus yang menghormati keputusan rakyat hingga menyebabkan proses peralihan kuasa di Sabah berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia memberi petanda bahawa ini masa yang tepat untuk kerajaan baharu di negeri itu membentuk sebuah pentadbiran yang kukuh supaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.
“Kita yakin dan percaya, kesepakatan yang dibuktikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ini adalah satu permulaan baharu kepada sebuah kerjasama politik yang benar-benar memberi perhatian kebajikan rakyat dan pembangunan negeri khususnya dalam keadaan kita masih berperang melawan penularan koronavirus (Covid-19).
“Pelantikan Ketua Menteri Sabah ke-16 dan pembentukan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga adalah kemenangan buat rakyat di sana yang membuat keputusan melalui proses demokrasi dengan penuh tertib dan telus mengikut ruang lingkup undang-undang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, penghormatan juga diberikan kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membuktikan kecintaan mereka terhadap masa depan rakyat mengatasi kepentingan peribadi apabila berlapang dada dalam kesepakatan mencalonkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Ini adalah dinamika baharu politik negara yang menjadi tanda aras kepada kematangan ahli-ahli politik dalam memastikan sahsiah politik terus dijunjung sebagai wadah perjuangan untuk menyatukan rakyat dan membina negara, bukannya alat untuk memecahbelahkan,” katanya.
Menteri Besar Perak itu berkata, negeri Sabah akan mendapat pembelaan dan menikmati kesinambungan pembangunan yang selayaknya di bawah semangat federalisme.
“Kita yakin komitmen jitu perdana menteri dan kepimpinan kerajaan Persekutuan akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Sabah,” katanya.
Sumber : Sinar Harian