Berpelukan di pentas AJL36 punca dikompaun langgar SOP

Berpelukan di pentas AJL36 punca dikompaun langgar SOP

Seramai tujuh individu termasuk penganjur Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36) semalam telah dikenakan kompaun sebanyak RM7,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Hal ini dimaklumkan menerusi kenyataan media Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supritendan Naazron Abdul Yusof menerusi laman Facebook Polis Dang Wangi sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, pihak polis telah mengesan satu gambar yang dimuat naik menerusi satu portal berita tempatan pada Isnin, 7 Mac semalam.

Menurut Naazron, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah menjalankan siasatan dan mendapati bahawa kejadian itu berlaku di Majlis Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36) yang berlangsung pada 6 Mac (Ahad) kelmarin.

Difahamkan, kesemua individu yang terlibat telah dipanggil bagi membantu siasatan atas kesalahan ketidakpatuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 iaitu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Susulan kejadian tersebut, individu-individu terbabit masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang termasuk penganjur yang menganjurkan majlis.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,000 telah dikeluarkan kepada setiap seorang termasuk penganjur mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” kata Supritendan Naazron dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak polis Dang Wangi turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19.