Berkelah ditepi pantai: Rara disiasat polis di bawah Seksyen 22 (b)

Polis kini sedang menyiasat Adun Ketari, Young Syefura Othman kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan berkelah di tepi pantai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, polis menerima dua laporan mengenai perkara itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Semalam, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara memohon maaf selepas memuat naik foto di Instagram yang menunjukkan dirinya dan beberapa individu lain berkelah di tepi pantai.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan warga maya kerana didakwa melanggar peraturan PKPB.

Di bawah peraturan PKPB, individu dilarang melakukan perjalanan rentas daerah dan mengadakan aktiviti sosial seperti berkelah bagi membendung penularan Covid-19.

Selain itu terdapat juga gesaan agar Adun DAP itu meletakkan jawatan.

Lebih-lebih lagi apabila dia sebelum ini meminta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali agar meletakkan jawatan kerana gagal menjalani kuarantin selepas kembali dari luar negara.

Mengulas laporan polis yang diterima, Fadzil berkata pengadu melihat laman Instagram Young Syefura dan mendapati 9 keping foto dimuatnaik menunjukkan adun berkenaan berada di lokasi berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort.

Untuk rekod, foto-foto tersebut telah dikeluarkan dari akaun Instagram.

“Menurut pengadu, Selangor pada ketika ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang mana aktiviti tersebut pada ketika ini adalah tidak dibenarkan.

“Pengadu juga mengatakan kejadian melibatkan ahli politik ini bukan kali yang pertama dan ia berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta merta diambil kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Malaysiakini