Berhijrah hanya kerana ‘job’ program keagamaan, Nabil Ahmad nafikan

Berhijrah hanya kerana ‘job’ program keagamaan, Nabil Ahmad nafikan
Pelawak dan personaliti TV, Nabil Ahmad yang dilihat sudah berhijrah ke arah mendekatkan diri ke jalan Allah nampaknya semakin diterima baik dalam kalangan peminat.

Namun, ada juga cakap-cakap belakang yang mengatakan Nabil hanya berhijrah secara ‘bermusim’ kerana telah ditawarkan untuk mengacara sebuah program keagamaan, N to N bersama rakan selebriti, Neelofa Mohd Nor.

Ujar Nabil, dia tidak dapat menutup mulut orang di luar sana daripada terus berkata-kata namun meminta agar peminat terus berdoa agar dia kekal istiqamah dengan penghijrahan tersebut.

“Saya hanya minta (netizen) terus doakan saya istiqamah sebab agama ini tidak bermusim. Kalau nak tahu, tawaran mengacarakan program agama ini datang selepas saya berhijrah. Kalau dia datang sebelum saya berhijrah, mungkin saya sendiri tak bersedia nak ambil job tersebut sebab bukan mudah nak kendalikan rancangan agama kalau kita tidak ada kefahaman mengenai agama itu sendiri.”

Tambahnya lagi, dia menerima tawaran mengendalikan program tersebut adalah kerana ingin bertemu dengan golongan agamawan serta ustaz-ustaz supaya dapat mendoakan dirinya terus kekal dalam penghijrahan tersebut.

Dalam pada itu, Nabil memilih untuk kekal dalam dunia seni hiburan meskipun telah berhijrah kerana merasakan dia memegang tanggungjawab untuk berdakwah secara kecil-kecilan dalam kalangan rakan selebriti.

“Saya tiada persediaan untuk tinggalkan industri sebab ada sedikit rasa nak kawan-kawan artis tahu apa yang saya rasa (bila dah berhijrah). Saya minta Allah beri saya kekuatan untuk buat dakwah kecil di kalangan rakan-rakan selebriti. Mereka semua ini baik tapi tiada kejayaan kalau kita tidak ikut sunnah yang dianjurkan oleh nabi.”

Perkembangan lain, Nabil memberitahu bahawa dia kini memperlahankan kerjaya seni kerana ingin memberikan fokus untuk beribadah dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

 

SUMBER : mStar Online