Bentong dilanda banjir kilat
BENTONG – Air dari Sungai Benus dilaporkan melimpah melepasi jalan, manakala beberapa kawasan telah dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, pasukan bomba telah menyelamatkan beberapa orang mangsa terjejas dan akan memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mangsa yang memerlukan dapat dibantu.
“Di kawasan Kampung Kemansur, pasukan dari Balai Bomba Bentong telah menyelamatkan lima lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan seorang kanak-kanak menggunakan jentera ketika rondaan.
“Penduduk berdekatan dinasihatkan sentiasa peka dengan keadaan semasa dan laporkan sebarang kecemasan kepada pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan,” jelas pihak bomba.
Air sungai meningkat, kini di paras bahaya
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman memaklumkan, beberapa lokaliti sekitar bandar Bentong sudah mula dinaiki air.
Hujan dikatakan mula turun di Bentong sejak petang dan berterusan hingga ke malam. Keadaan ini menyebabkan air sungai mula naik di beberapa kawasan di daerah Bentong dan berada di paras bahaya.
“Di bandar Bentong, tempat seperti Kampung Perting, Sungai Marong, Kampung Chegar Medang dan Taman Harmoni kini sudah mula dinaiki air.
“Hujan yang turun sejak jam tiga petang tadi telah menyebabkan air sungai meningkat dan kini berada di paras bahaya,” kata Young Syefura setekat kemaskini jam 10.40 malam tadi.
Tambah beliau, kerosakan akibat banjir beberapa bulan lalu yang masih belum dibaik pulih sepenuhnya menyumbang kepada kenaikan paras air sungai yang kini melimpah ke kediaman warga sekitar.
“Kesan kerosakan akibat bencana banjir pada Disember lalu juga masih belum dibaik pulih, sungai-sungai yang dipenuhi batu-batu dan selut masih belum didalamkan semula.
“Akibat dari itu, keadaan sungai menjadi cetek dan apabila hujan turun dengan lebat dan tanpa henti, air sungai mula naik dan melimpahi kawasan darat serta membuka aliran baru yang merentasi kediaman penduduk,” jelas beliau.
Janda Baik turut dinaiki air
Melalui hantaran di lama Facebook, Young Syefura turut memaklumkan bahawa kawasan peranginan Janda Baik kini sudah mula dinaiki air dan dikhuatiri mengalami kerosakan menyeluruh sekiranya dilanda bah sekali lagi.
“Di Janda Baik, kawasan Pulau Santap yang musnah sewaktu banjir pada 18 Disember 2022 yang lalu kini sudah mula dinaiki air deras dan ini menimbulkan keresahan penduduk di kawasan tersebut juga pengusaha-pengusaha chalet.
“Kerosakan yang dialami di kawasan Janda Baik juga masih belum dibaik pulih.
“Jika berlaku musibah banjir sekali lagi, saya khuatir Janda Baik akan mengalami kerosakan yang total,” ujar Young Syefura.