Bengang kena hon, pemandu kancil amuk tetak kereta guna parang

Bengang kena hon, pemandu kancil amuk tetak kereta guna parang

Bertemu dengan pembuli jalan raya sememangnya satu perkara yang sangat menyakitkan hati. Mana tidaknya, jalan raya merupakan hak pengguna bersama namun ada yang memperlakukan seperti jalan mereka sendiri.

Dalam satu video yang tular di media sosial, terdapat perkongsian yang dibuat oleh seorang pengguna yang menunjukan tindakan biadap seorang pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang menetak kenderaan lain dengan sebilah parang.

Amuk keluar parang

Dalam muat naik yang dibuat oleh Facebook milik A-jamp MrAj, Perodua Kancil yang berada di arah berlawanan telah menghalang kenderaan yang dinaiki pemandu kereta dihadapannya dan mengeluarkan sebilah parang sebelum menghentaknya di bonet depan kenderaan terbabit.

Menerusi laporan dari TVS, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili memaklumkan yang pihak polis telah berjaya menahan lelaki yang mengamuk terbabit di rumahnya kira-kira tengah hari semalam.

Marah sebab kena hon

Suspek yang berusia 37 tahun itu difahamkan bengang kerana pengadu membunyikan hon kepadanya di Jalan Lanang Sibu sehingga dia bertindak sedemikian rupa.

“Pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang mendakwa keretanya telah ditetak oleh suspek yang tidak dikenali di lokasi kejadian,” katanya.

Setakat ini, sebilah parang telah dirampas untuk membantu siasatan kes terbabit. Pihak polis juga menyerbu rumah suspek selepas mendapat maklumat berhubung kejadian terbabit.

Zulkipli berkata, suspek akan direman mulai 3 Ogos bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

 

Sumber: Facebook A-jamp MrAj, TVS