‘Beli’ ikan dengan kentut bikin ramai terkejut

Cerita ni dah lama. Sekitar awal tahun 1940an dulu, di pekan Lambor Kanan yang terletak di tepi tebing sungai Perak. Masa itu pekan Lambor amat meriah. Selain deretan kedai, terdapat jeti yang menjadi pengkalan bot-bot mengambil dan menurunkan penumpang. Kerana sungai Perak itu merupakan laluan utama menghubungkan antara satu tempat ke satu tempat yang lain.

Di masa itu kebanyakan peniaga yang berniaga di pekan Lambor terdiri dari bangsa cina. Hanya sebahagian kecil bangsa Melayu sendiri dan kaum India Muslim. Hubungan peniaga cina dengan mayarakat melayu ketika itu baik sekali, saling hormat-menghormati , bahkan kebanyakan mereka begitu faseh bertutur menggunakan loghat Lambor. Selepas kejadian ‘perang sabil’ sekitar tahun 1945 barulah seorang peniaga Cina pun tidak ada lagi di Lambor.

Dalam ramai-ramai peniaga cina itu terdapat seorang apek menjual ikan yang bersikap ‘cengei’ dan berlagak sombong. Bertutur longat Lambor pun tidak berapa faseh seperti kawan-kawannya yang lain, mungkin pendatang baru. Ia suka merendah-rendahkan orang kampung. Mentang-mentanglah kebanyakan orang kampung hidup susah. Diperli-perlinya jika ada orang kampong menawar harga ikan yang agak mahal.

Suatu hari datang seorang orang kampung dari Teluk Pedayung, namanya Tain. Ia merupakan ketua kampung di Teluk Pedayung dan Pasir Sena yang belum dikenali sangat oleh Apek penjual ikan tersebut. Tain menjenguk dan membelek-belek ikan-ikan yang kelihatannya masih segar di kedai apek tersebut. Belum ia mahu membelinya, sekadar bertanya dulu harganya. Tetapi dijawab dengan sindiran.

“Lu boleh makan ka itu ikan… ini ikan aaa… bukan sungai punya tau. Itu laut lalam punya… hargapun mangnyak tinggi ooo…”

“Eii apek!! Aku tanya harga la… apa bikin banyak cerita… sungai laa… laut dalam laa. lu ingat aku bodoh sangat ke?”

“Woi kawan…. Ini ikan misti bili lengan luit ooo…. bukan angin saja… lu ada duit ka mau angkat ini ikan…”

“Apek… aku duit memang tara banyak, tapi angin memang banyak… kalau lu mau aku boleh kasi. Satu angin keluar, lu kasi satu ekor itu ikan… boleh?” gurau Tain separuh meradang.

“Haiii yaaa… lu ingat boleh senang-senang kasi itu angin keluar ka. Tak apalah…. Wa mau tengok, berapa banyak angin lu boleh kasi keluar…. Wa kasi hadiah sama lu, satu angin satu ikan kasi lu…”

Malang nampaknya apek tu. Dia belum tahu orang Lambor mempunyai pelbagai kebolehan. Termasuk kebolehan mengumpul angin, menahan dan melepaskannya satu persatu hingga berdas-das tembakan. Apa lagi, inilah masanya Tain mahu mengajar sikap ‘cengei’ orang baru ni. Dihenjut-henjutkan perutnya hingga kelihatan kembang kempis, dan bermula operasi menembak, puuttt… satu, puuttt… dua, puuttt… tiga, dan seterusnya.

Setiap satu das tembakan, kawan sebelah yang menjadi saksi sedari tadi membilang sambil mengeluarkan ikan dari bekasnya. Apek yang tadinya mencemih muka memperkecilkan Tain, mulai mencuka dan mengerut dahi. Ia merelakan saja ikan dikeluarkan satu persatu. Sampai habis satu raga ikan dikeluarkan, barulah dentuman terakhir dilepaskan sebagai penutup…. Buuuttt!!! Selesai.

“Apa macam apek… sekarang ini sudah jadi hadiah untuk aku aaa… aku bawa balek aaa…”

Sesampai di rumah, Tain melambakkan sekarung ikan tersebut di hadapan isteriya. “Eh… mana didapat banyak-banyak ni.” isterinya kehairanan.

“Kat Pekan Lambor tadi…. Aku beli dengan kentut…” rengus Tain sambil melibas tuala di bahu.
“Aku nak kayo (membuang air) kejap, buang sial…?!”

Orang Lambor ramai juga mewarisi kebolehan ini, walaupun belum boleh menandingi Tok Tain.